BAB 1
PENGENALAN
1.1 LATAR BELAKANG KAJIAN
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) ditakrifkan sebagai perusahaan perkilangan atau syarikat yang menyediakan perkhidmatan berkaitan perkilangan dengan pusing ganti jualan tahunannya yang tidak melebihi RM 25 juta dan menggaji kakitangan sepenuh masa tidak melebihi 150 orang.
Industri Kecil dan Sederhana (IKS) adalah komponen yang penting dalam ekonomi negara, mewakili 99.2 peratus daripada jumlah keseluruhan perniagaan yang diwujudkan di negara ini. Sektor ini menawarkan 5.6 peratus peluang pekerjaan serta menyumbang kira-kira 32 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Berikutan peranan dan sumbangan besar sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS) kepada ekonomi negara, kerajaan menjadikan pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) sebagai satu agenda utama negara dan sumber yang penting ke arah mengubah model ekonomi Malaysia kepada model ekonomi baru yang berpandapatan tinggi.
Membangunkan sekumpulan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang pelbagai dan mempunyai daya saing yang tinggi adalah tema utama ke arah pengekalan pertumbuhan ekonomi. IKS adalah penting di dalam proses perkembangan ekonomi dan turut memainkan peranan yang penting dalam rangkaian pengeluaran negara. Sesetengah ekonomi yang maju telah berjaya kerana IKS merupakan bahagian utama ekonomi negara itu, mencakupi lebih 98% daripada jumlah organisasi dan menyumbang lebih 65% kepada pekerjaan serta lebih 50% daripada keluaran domestik negara. Meskipun di Malaysia angkanya mungkin lebih rendah, IKS berpotensi membuat sumbangan yang besar kepada ekonomi dan boleh menyediakan asas-asas yang kukuh untuk menjana pertumbuhan industri baru sementara mengukuhkan industri yang sedia ada untuk pertumbuhan masa hadapan negara.
Berdasarkan statistik yang di perolehi dari laman sesawang SME info, iaitu sumber setempat untuk rujukan Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Didapati sebanyak 644 buah Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang terdapat di Sarawak. Ini adalah termasuk industri perkilangan (termasuk asas tani), perkhidmatan berkaitan perkilangan, perlombangan dan kuari, perkhidmatan (termasuk ICT), pembinaan, pertanian utama dan lain-lain.
Berdasarkan kajian yang dijalankan mengenai faktor-faktor yang mempengaruhi kejayaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), terdapat dua pembolehubah yang telah dikenalpasti mempengaruhi kejayaan IKS iaitu sumbangan teknologi dan sokongan kerajaan. Sesuatu organisasi yang tidak mempunyai teknologi dan sokongan daripada kerajaan adalah agak sukar untuk bersaing dan berkembang berbanding dengan organisasi yang memiliki teknologi dan sokongan kerajaan.
Dalam persekitaran perniagaan semasa, tidak dinafikan bahawa penggunaan teknologi membawa kepentingan bagi meningkatkan daya saing dan prestasi perniagaan IKS. Disebabkan oleh zaman yang serba canggih dan sejajar dengan dunia yang bergerak pantas memaksa industri ini untuk bergerak kehadapan seiring dengan negara-negara maju yang lain. Pengusaha IKS menggunakan teknologi lebih dari segala sumber lain untuk menghasilkan produk atau perkhidmatan yang boleh memenuhi kehendak pengguna dan untuk menghasilkan keuntungan dan pendapatan yang lebih lumayan. Oleh yang demikian, penting bagi IKS mengambil langkah-langkah untuk memodenkan dan menambah baik mesin, peralatan dan operasi mereka bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti.
Kesan Penggunaan Teknologi |
Kadar Peningkatan |
Pertumbuhan Produktiviti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) | 38 % 21 % |
Jadual 1.1.1 Kesan Penggunaan Teknologi Kepada IKS
Laporan Pertubuhan Teknologi Maklumat Dan Inovatif
Low Sin Yip
Utusan Malaysia
16 Julai 2007
Jadual 1.1.1 menunjukkan statistik kesan penggunaan teknologi kepada IKS. Laporan daripada Pertubuhan Teknologi Maklumat dan Inovatif tersebut menyatakan bahawa penggunaan teknologi telah memberi kesan bagi 38 peratus peningkatan untuk keseluruhan faktor pertumbuhan produktiviti organisasi serta 21 peratus pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Teknologi merupakan asas kepada persaingan kerana ia merupakan faktor terpenting dalam membezakan produk dan juga penentu kepada kejayaan dan kualiti produk IKS. Oleh yang demikian, dengan menggunakan teknologi tidak mustahil pengusaha IKS mampu untuk mengetengahkan perniagaan mereka ke pasaran antarabangsa. Ini dapat dilihat di mana teknologi membantu IKS untuk meneroka pasaran baru dengan kos yang minimum. Dengan menggunakan kelebihan teknologi sebagai saluran jualan dan pemasaran yang berkesan, pengusaha dapat meyakinkan pelanggan untuk membeli produk keluaran IKS disamping dapat meningkatkan keupayaan IKS untuk mencari pelanggan baru, tempatan dan luar negara. Kelebihan teknologi tersebut, membolehkan IKS menjadi lebih produktif dan cekap, lantas lebih kompetitif dalam meningkatkan sumbangan mereka kepada ekonomi Negara.
IKS boleh memanfaatkan kemajuan teknologi bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan yang membawa kepada peningkatan kecekapan dan produktiviti. Salah satu aplikasi teknologi yang membolehkan IKS meningkatkan kualiti produk dan jumlah pengeluaran ialah melalui penggunaan mesin. Iklim perniagaan yang semakin banyak berubah pada masa kini seperti negara tidak mampu lagi membekalkan tenaga kerja yang murah hasil daripada perubahan taraf hidup dan kos sumber pengeluaran yang semakin meningkat. Penggunaan mesin menjadi semakin penting dan amat dititiberatkan oleh IKS kerana ianya lebih efektif dan menjimatkan masa kerana sesuatu proses pengeluaran berlaku dengan cepat di mana mesin mampu menghasilkan jumlah pengeluaran produk dalam kuantiti yang banyak dalam tempoh masa singkat seperti mesin pemotong ubi yang boleh memotong ubi dengan lebih efektif berbanding dengan tenaga manusia. Malah, dengan adanya mesin pengusaha IKS dapat menjimatkan kos kerana sudah ada mesin yang mengantikan tenaga manusia maka pengusaha tidak perlu lagi membayar gaji pekerja setiap bulan. Bukan itu sahaja, berbanding dengan tenaga manusia mesin dapat membantu menjadikan kualiti produk dan perkhidmatan sentiasa terkawal dan berada dalam keadaaan yang baik kerana mesin tidak mudah penat dan jemu dalam menghasilkan produk berbanding tenaga manusia yang boleh menjejaskan prestasi perniagaan. .
Dalam usaha untuk meningkatkan lagi status dan kemampuan IKS untuk bersaing dengan industri-industri yang lebih besar. IKS juga boleh mengaplikasikan teknologi maklumat dalam perniagaan mereka. Sebagaimana yang kita telah ketahui, penggunaan teknologi maklumat telah lama dipraktikkan di negara-negara maju seperti di Amerika Syarikat, Jepun dan negara-negara Eropah yang lain. Oleh yang demikian, sudah sampai masanya untuk pengusaha-pengusaha tempatan mengaplikasikan teknologi maklumat dalam perniagaan mereka dalam usaha untuk meningkatkan daya saing dan keberkesanan dalam pengurusan. Dengan teknologi maklumat, IKS dapat mengakses maklumat dari semasa ke semasa berkaitan dengan perniagaan dengan lebih meluas. Maklumat yang telah diakses tersebut sedikit sebanyak dapat membantu IKS untuk menghadapi persaingan dengan industri-industri lain yang berkembang bak cendawan tumbuh selepas hujan. IKS juga dapat menggunakan kelebihan yang ada untuk mendapatkan peluang-peluang perniagaan yang lebih besar serta untuk mendapatkan potensi perniagaan yang lebih baik. Disamping itu, idea-idea yang lebih kreatif boleh dicetuskan supaya kaedah atau cara yang lebih baru boleh digunakan untuk memperbaiki operasi perniagaan selain dapat menambah baik proses keseluruhan melalui penggunaan kaedah khusus untuk sistem dan proses perniagaan yang lebih cekap.
Selain itu, IKS juga boleh memanafaatkan penggunaan internet dalam perniagaan mereka kerana dengan menggunakan internet sebagai medium perniagaan, IKS mampu meluaskan pasaran ke serata dunia dalam masa yang sama dapat mengurangkan kos promosi dan pengiklanan. Ini kerana penggunaan internet banyak menyumbang kepada kejayaan IKS di mana kemampuan internet untuk melangkaui batas-batas sempadan politik dan geografi tanpa sebarang halangan dalam masa yang begitu singkat. Internet sememangnya memberi kebaikan kepada pengguna, organisasi dan masyarakat. Dengan pelaburan yang rendah, IKS dapat mempromosikan produk keluaran kepada pengguna di seluruh dunia. Malah, perbelanjaan percetakan untuk tujuan promosi dan pengiklanan juga dapat dielakkan sama ada di dalam surat khabar, katalog atau majalah di mana ia memerlukan kos yang agak tinggi. Bukan itu sahaja, kandungan iklan dapat direka mengikut citarasa sendiri dan penerangan mengenai produk boleh dibuat dengan lebih terperinci. Dengan penggunaan teknologi, pengusaha IKS boleh berhubung dengan pelanggan dengan lebih dekat lagi tanpa perlu bersemuka dimana pelanggan bukan sahaja boleh membuat tempahan, malah boleh membantu IKS dalam menaikkan lagi prestasi perniagaan disamping dapat menyumbang kepada ekonomi negara. Dalam usaha untuk mempromosikan produk, pengusaha IKS juga boleh menggunakan laman sosial seperti facebook, myspace, tagged, dan sebagainya untuk menarik lebih ramai lagi pelanggan baru dan mengekalkan pelanggan yang lama.
Penggunaan laman web juga penting untuk tujuan pemasaran dan mempromosikan produk dan perkhidmatan IKS. Laman web merupakan saluran terbaik bagi memasarkan produk dan perkhidmatan dengan kos yang minimum. Perkhidmatan laman web menjadi satu keperluan bagi membantu perusahaan IKS yang mungkin tidak diketahui oleh pelanggan tentang kewujudannya di pasaran untuk lebih dikenali bukan sahaja dalam pasaran tempatan malah dalam pasaran antarabangsa juga. Dengan menggunakan laman web, organisasi tidak perlu mempunyai saiz firma yang besar bagi meyakinkan pengguna tentang kewujudan organisasi dalam pasaran malah dengan adanya rangkaian perkhidmatan dalam talian yang kukuh dan berkesan sudah cukup untuk meyakinkan pengguna. Ini kerana, saiz firma yang besar tidak menjamin kepada pengguna bahawa keadaan syarikat adalah kukuh. Berbeza dengan kaedah tradisional, maklumbalas dari pelanggan adalah lambat serta memakan masa yang lama dan kadang-kadang sukar untuk diketahui. Dengan teknologi, maklumbalas dapat diterima dengan cepat melalui e-mail atau ruangan maklumbalas yang disediakan oleh pengusaha dalam perkhidmatan laman web mereka. Pelanggan boleh mengemukakan idea dan komen dalam ruangan atau e-mail yang disediakan oleh pengusaha dalam laman web. Ini membolehkan pengusaha IKS sentiasa peka dengan kehendak dan permintaan pasaran dari semasa ke semasa dan membolehkan perusahaan mengeluarkan serta menghasilkan produk atau perkhidmatan mengikut citarasa pengguna.
Tidak dapat dinafikan lagi bahawa penggunaan teknologi banyak mempengaruhi kejayaan IKS dan sememangnya memberi perubahan yang besar kepada produktiviti IKS. Oleh yang demikian, pelbagai langkah perlu diperkenalkan untuk membantu IKS memodenkan operasi dan mengurangkan kos pengeluaran. Antara yang boleh dipertingkatkan ialah intensif yang menggalakkan pengusaha IKS terutamanya di luar bandar beralih daripada cara tradisional kepada teknologi moden. Pengusaha IKS di luar bandar juga perlu didedahkan dengan bidang teknologi moden supaya perusahaan mereka dapat diperbesarkan dan produk-produk yang dihasilkan boleh dipasarkan sehingga ke luar negara. Ke arah itu juga, persekitaran yang lebih kondusif bagi pengusaha IKS membangunkan jenama masing-masing perlulah disediakan.
Sokongan kerajaan tidak kurang pentingnya dalam mempengaruhi kejayaan IKS. Kerajaan melalui pelbagai kementerian dan agensi telah mengambil pelbagai inisiatif dan program untuk menyokong pembangunan IKS. Ini bertujuan untuk menggalakkan pembangunan IKS yang berdaya saing dan berdaya tahan ke arah meningkatkan sumbangan IKS kepada ekonomi negara. Sokongan kerajaan bagi membangunkan IKS adalah dalam bentuk program yang dirangka khusus bagi menyediakan infrastruktur supaya lebih mudah bagi pengusaha menceburi bidang perniagaan, menanam semangat keusahawanan dan mendidik bakal usahawan.
Bagi memastikan IKS terus berdaya maju, pelbagai langkah turut diatur oleh kerajaan untuk membantu IKS meningkatkan kejayaan mereka. Sesebuah IKS akan maju jika diberi pertolongan dalam semua perkara terutamanya dari segi pinjaman kewangan. Oleh kerana IKS memainkan peranan penting dalam menerajui pertumbuhan ekonomi negara, kerajaan telah memperuntukkan jumlah dana yang semakin meningkat pada setiap tahun. Untuk pengusaha yang baru menceburkan diri dalam bidang perniagaan, pinjaman modal amatlah diperlukan untuk memulakan sesuatu perusahaan. Dengan adanya pinjaman tersebut, IKS dapat membangunkan perusahaan mereka terutamanya kepada perusahaan-perusahaan yang masih dalam peringkat untuk berkembang sehingga ke tahap global. Disamping itu juga, pinjaman yang disediakan membantu untuk membuka peluang kepada golongan IKS yang sedia ada mengembangkan perniagaan mereka selain dapat memenuhi keperluan dalam memulakan perniagaan baru. Sebagaimana yang kita telah ketahui, IKS sering dikaitkan dengan kekurangan dana untuk membeli teknologi. Bagaimanapun, ini semua akan berubah dengan adanya bantuan kewangan yang disalurkan oleh kerajaan kepada IKS. Hasrat kerajaan untuk melihat IKS terus berkembang maju menyebabkan pinjaman dari segi kewangan dipermudahkan dan dipertambahkan dalam jumlah yang lebih banyak. Usaha ini secara tidak langsung akan membantu memberi impak yang positif kepada ekonomi Negara.
Kerajaan terus memainkan peranan aktif dalam membangunkan IKS menerusi pelbagai program dan aktiviti. Dalam usaha ke arah mewujudkan dan membangunkan usahawan yang dinamik dan berpengetahuan, kerajaan telah menganjurkan kursus dan latihan kepada IKS terutamanya untuk usahawan yang berpotensi dan sedia ada. Kursus dan latihan yang diberikan bertujuan untuk mempertingkatkan lagi tahap pengetahuan pekerja untuk memastikan IKS memiliki kumpulan tenaga kerja yang mahir dan berpengetahuan terutamanya dari segi pengurusan. Agensi yang terlibat dalam kursus dan latihan ini kebiasaanya dibuat oleh pihak TEKUN dan MARA, kerana agensi ini amat memberi peranan dalam latihan dan kursus yang dibuat untuk usahawan IKS, seperti kursus dan latihan pembungkusan, kewangan, kepimpinan, pengurusan, dan sebagainya. Walaupun mempunyai dana yang mencukupi, perusahaan IKS tidak mungkin berjaya sekiranya tidak mempunyai kemampuan dan kemahiran dalam menguruskan perusahaan. Dengan memiliki pengetahuan dan kemahiran yang tinggi, pekerja dapat membantu dalam meningkatkan produktiviti organisasi. Kursus dan latihan yang disediakan penting bagi membolehkan sesebuah organisasi berkembang menjadi syarikat yang berjaya dalam peringkat domestik serta dapat melangkau ke peringkat serantau dan global.
Dengan melihat kepada segala keperluan IKS dari segi kewangan dan kemahiran, kerajaan turut menawarkan khidmat nasihat perniagaan yang komprehensif kepada IKS supaya IKS mendapat khidmat nasihat yang berkualiti tinggi dan lebih baik berbanding sebelumnya terutamanya dalam bidang pemasaran, pengurusan dan operasi. Perkhidmatan yang telah ditawarkan kepada IKS adalah dalam semua peringkat kitaran perniagaan bagi membantu mereka berkembang dan mencapai kecemerlangan dalam aktiviti perniagaan. Terdapat beberapa agensi yang menyediakan khidmat nasihat kepada IKS. Antaranya ialah seperti SMIDEC, MARDI dan MARA. Tujuan khidmat nasihat ini disediakan adalah dengan tujuan untuk memberi panduan kepada IKS tentang cara menguruskan perniagaan dengan lebih baik terutamanya dalam persekitaran kos yang semakin meningkat dan lebih sukar pada masa kini. IKS boleh mendapatkan khidmat nasihat dengan lebih lanjut mengenai langkah-langkah yang berkesan untuk menguruskan perniagaan dan secara tidak langsung membantu bagi mengukuhkan operasi perniagaan IKS. Selain itu, IKS boleh mendapatkan maklumat yang pelbagai bagi menangani masalah yang dihadapi dalam perniagaan dan memperbaiki proses pengurusan. Dengan adanya khidmat nasihat tersebut, pengusaha IKS akan lebih bermotivasi dalam menjalankan perniagaan serta dapat menghasilkan idea yang lebih kreatif untuk diaplikasikan dalam perniagaan pada masa depan.
Untuk mengembangkan lagi perniagaan IKS, kerajaan turut menyediakan infrastruktur atau kemudahan bagi menyokong pertumbuhan IKS terutamanya kepada IKS di kawasan luar bandar. Antara kemudahan yang disediakan ialah kilang dan bengkel, penyediaan subsidi tanah, subsidi mesin dan subsidi pengangkutan dan sebagainya. Kemudahan ini disediakan adalah dengan tujuan untuk memberi keselesaan dan memudahkan lagi proses perniagaan IKS dijalankan. Malah kemudahan tersebut juga memberi peransang kepada IKS dalam usaha untuk meningkatkan produktiviti dan memajukan organisasi. Sebagai contoh, melalui penyediaan tanah oleh kerajaan, pengusaha IKS boleh memanfaatkan kemudahan tersebut untuk dijadikan sebagai tapak perniagaan atau sebagai tempat untuk menghasilkan bahan mentah sendiri. Dengan itu, pengusaha dapat mengurangkan kos di mana sekiranya IKS sudah mempunyai tapak atau bahan mentah sendiri maka pengusaha tidak perlu lagi mengeluarkan dana untuk membayar sewa dan kos untuk bahan mentah. Dari segi penggunaan mesin pula ia boleh meningkatkan hasil keluaran dan menjamin kualiti yang baik, dimana ia amat mempengaruhi pemasaran untuk pembekalan yang berterusan. Dari segi pengangkutan pula ia memudahkan untuk ke satu kawasan ke kawasan yang lain, dimana ia amat membantu dalam penghantaran bekalan dan memperolehi bekalan dengan cara yang lebih berkesan.
Untuk memudahkan dan membantu IKS dalam perniagaan, kerajaan turut mengadakan kempen yang bermatlamat untuk mempromosikan dan memperkukuhkan kepentingan jenama IKS. Agensi yang bertanggungjawab dalam kempen ini ialah SMIDEC dan MARA. Penubuhan kempen ini mencerminkan komitmen dan kesungguhan kerajaan untuk menggalakkan pembangunan IKS di Malaysia. Ini akan menggalakkan pengusaha IKS untuk memanfaatkan penjenamaan bagi memasarkan produk dan perkhidmatan ke peringkat yang lebih tinggi. Kempen yang dijalankan ini akan dapat membantu IKS dalam membangunkan dan mempromosikan jenama keluaran mereka disamping dapat mempamerkan produk kepada orang awam melalui iklan-iklan di internet, radio, surat khabar, kain rentang dan sebagainya. Dengan menyertai kempen tersebut, ini menunjukkan IKS sentiasa berusaha secara berterusan untuk memenuhi permintaan pelanggan dari segi produk dan perkhidmatan yang disediakan.
Sebagai usaha untuk membangunkan IKS, kerajaan telah menyediakan sokongan berbentuk kewangan dan bukan kewangan bagi memajukan IKS di pasaran tempatan dan antarabangsa. Industri Kecil dan Sederhana (IKS) bukan sahaja dapat menarik pengusaha baru untuk menceburi bidang perniagaan malah turut memainkan peranan dalam membantu masyarakat dengan memberi peluang pekerjaan dan meningkatkan ekonomi negara. Oleh yang demikian, penting bagi kerajaan untuk memberikan komitmen sebenar ke arah memajukan sektor IKS.
1.2 MATLAMAT
Di antara matlamat penyelidikan ialah :
1. Untuk mengetahui faktor-faktor yang mempengaruhi kejayaan Industri Kecil Dan Sederhana (IKS) .
2. Untuk mengenalpasti kebaikan Industri Kecil Dan Sederhana (IKS) kepada masyarakat.
1.3 OBJEKTIF KAJIAN
Di antara objektif penyelidikan adalah :
1.3.1 Umum
1. Untuk mengenalpasti faktor-faktor yang mempengaruhi kejayaan Industri Kecil Dan Sederhana (IKS).
2. Untuk mengenalpasti kebaikan Industri Kecil Dan Sederhana (IKS) kepada masyarakat.
1.3.2 Khusus
1. Untuk mengetahui sama ada teknologi dapat mempengaruhi kejayaan Industri Kecil Dan Sederhana (IKS).
2. Untuk mengetahui sama ada sokongan kerajaan dapat mempengaruhi kejayaan Industri Kecil Dan Sedehana (IKS).
1.4 PENYATAAN MASALAH
Di antara penyataan masalah dalam penyelidikan ialah :
1. Apakah faktor yang mempengaruhi kejayaan Industri Dan Sederhana (IKS)?
2. Apakah kebaikan Industri Kecil Dan Sederhana (IKS) kepada masyarakat?
1.5 HIPOTESIS
Hipotesis didefinisikan sebagai kenyataan masalah yang belum dibuktikan kebenarannya dan masalah tersebut perlu dikaji. Hipotesis terbahagi kepada dua iaitu hipotesis null dan hipotesis alternatif. Dalam kajian ini, hipotesis yang digunakan adalah seperti berikut :
1. H0: Faktor teknologi mempengaruhi kejayaan Industri Kecil Dan Sederhana
(IKS).
H1: Faktor teknologi tidak mempengaruhi kejayaan Industri Kecil Dan Sederhana (IKS).
2. H0: Faktor sokongan kerajaan mempengaruhi kejayaan Industri Kecil Dan Sederhana (IKS).
H1: Faktor sokongan kerajaan tidak mempengaruhi kejayaan Industri Kecil Dan Sederhana (IKS).
1.6 SKOP KAJIAN
1.6.1 SKOP KAWASAN
Skop kawasan dalam menjalankan kajian ini ialah di Kota Samarahan, Kuching. Kota Samarahan dipilih sebagai skop kawasan yang dikaji kerana kawasan ini terdapat banyak peluang perniagaan. Selain itu, kawasan ini turut menyediakan premis untuk berniaga yang disediakan oleh kerajaan sebagai tapak untuk memajukan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
1.6.2 SKOP RESPONDEN
Dalam kajian ini, penyelidik telah memilih seramai 250 responden. Responden kajian ini terdiri daripada usahawan-usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Kota Samarahan Kuching, Sarawak. Usahawan yang ingin dikaji adalah terdiri daripada usahawan lelaki dan wanita tanpa mengira peringkat umur.
1.7 SUMBER-SUMBER
Sumber adalah sebagai bahan rujukan bagi kegunaan penyelidikan. Secara lazimnya, sumber dibahagikan kepada tiga kategori iaitu sumber primer, sumber sekunder dan sumber tertier. Sumber merupakan maklumat atau fakta yang dapat membantu dalam melengkapkan penyelidikan.
1.7.1 Sumber primer
Merupakan sumber yang diperolehi oleh penyelidik dimana ia juga merupakan sumber utama kerana bahan atau maklumat yang diperolehi belum ditukar, ditambah atau digunakan oleh penyelidik lain. Dalam kajian ini, penyelidik telah menggunakan kaedah borang soal selidik, pemerhatian dan temubual.
1.7.2 Sumber sekunder
Merupakan sumber kedua yang terhasil daripada sesuatu yang asas atau utama. Sumber sekunder diperlukan untuk membolehkan penyelidik memahami dengan lebih jelas mengenai kajian yang dijalankan. Sumber sekunder yang digunakan adalah buku rujukan, majalah dan risalah.
1.7.3 Sumber tertier
Merupakan sumber terakhir penyelidik. Sumber ini digunakan untuk mencari maklumat tambahan dalam melaksanakan kajian. Sumber tertier penyelidik adalah melalui internet.
1.8 KEPENTINGAN KAJIAN
Antara kepentingan dalam membuat kajian ini adalah :
1.8.1 MASYARAKAT
Kajian ini penting kepada masyarakat kerana Industri Kecil dan Sederhana (IKS) memberi peluang pekerjaan yang meluas kepada masyarakat. Selain itu, masyarakat juga digalakkan untuk menceburi dalam bidang Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan dalam memulakan perniagaan.
1.8.2 PENIAGA
Kajian ini penting untuk peniaga kerana peniaga akan dapat mengetahui lebih mendalam mengenai IKS. Selain itu, peniaga juga akan diberikan bantuan kewangan daripada kerajaan seperti TEKUN, MARA dan sebagainya. Sehubungan dengan itu, peniaga diberikan kursus-kursus yang dapat menambahkan lagi kemahiran serta pengetahuan supaya perniagaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dapat diusahakan dengan lebih baik.
1.8.3 KERAJAAN
Selain itu, kajian ini penting kepada kerajaan kerana Industri Kecil dan Sederhana (IKS) merupakan salah satu aset yang memainkan peranan penting bagi meningkatkan lagi tahap pertumbuhan ekonomi negara. Dengan itu, kerajaan dapat membantu masyarakat yang ingin menceburi dalam bidang perniagaan, khususnya kepada golongan miskin ketara dan yang berpendapatan rendah.
1.9 HALANGAN KAJIAN
Sepanjang menjalankan kajian ini, terdapat pelbagai halangan yang dihadapi oleh penyelidik. Antara halangan kajian ialah:
1.9.1 Responden
Terdapat responden yang kurang memberi kerjasama dimana ia menyukarkan penyelidik untuk menjalankan kajian. Sikap sambil lewa oleh sesetengah responden dalam mengisi borang selidik menyebabkan hasil kajian kurang memuaskan. Di samping itu, terdapat juga sebilangan responden yang memberi maklumat yang tidak tepat dan tidak mengembalikan semula borang soal selidik. Ini menyebabkan penyelidik terpaksa membuat salinan borang soal selidik berkali-kali. Bagi mengatasi hal sedemikian berulang, penyelidik akan meminta responden untuk mengisi borang soal selidik serta meminta responden untuk mengembalikan semula borang soal selidik.
1.9.2 Masa
Masalah masa yang terhad juga menjadi halangan kepada penyelidik untuk membuat penyelidikan. Tempoh masa yang singkat menyebabkan penyelidik bertungkus lumus untuk mendapatkan maklumat secara lebih terperinci. Oleh yang demikian, penyelidik telah membuat pembahagian masa supaya kajian yang dijalankan dapat disiapkan mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan.
1.9.3 Masalah komunikasi
Kesukaran untuk berkomunikasi dengan responden menyebabkan kajian sukar untuk dijalankan dengan lebih lancar. Penggunaan bahasa yang sukar difahami menyukarkan penyelidik untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan. Selain daripada itu, perbezaan bahasa yang berlainan menyukarkan penyelidik untuk memahami maklumat yang diperlukan. Sehubungan itu, bagi mengatasi masalah komunikasi tersebut, penyelidik memerlukan individu iaitu orang awam yang memahami pertuturan bahasa bagi menterjemahkan maklumat yang disampaikan oleh responden kepada penyelidik.